Polis serbu rumah banglo jadi hub judi atas talian
Astro Awani
November 9, 2019 06:57 MYT
November 9, 2019 06:57 MYT
Satu sindiket didalangi warga China, yang menjadikan rumah banglo mewah sebagai hub judi atas talian, tumpas dengan penahanan 28 orang ahlinya.
Sindiket yang disyaki beroperasi sejak Julai lalu dipercayai sudah menjalankan transaksi wang pertaruhan yang mencecah sekarang kurangnya RM8.7 juta.
Kesemua suspek berusia 19 sehingga 55 tahun itu dikesan dalam satu operasi khas di Taman Zoo View, Ampang Jaya, Selangor.
Operasi risikan dilakukan Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan dibantu pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bermula jam 1.30 petang, Sabtu.
Ketika serbuan, 25 lelaki dan tiga wanita yang disyaki direkrut sindiket itu sedang leka memancing pelanggan menerusi laman sesawang www.dajiangcp.com.
Sindiket juga didapati menghantar 'QR Code' serta 'WeChat Pay' bagi tujuan perbankan atas talian menggunakan mata wang yuen.
Bagaimanapun, sindiket yang berpusat di China itu dipercayai hanya mensasarkan warga dari negara itu sahaja.
Antara perjudian yang ditawarkan adalah loteri, slot, roulette dan jackpot.
Mereka dipercayai menyewa premis dengan kadar sehingga RM10,000 sebulan dan pergerakan ahli sindiket juga terbatas.
Hasil pemeriksaan mendapati keuntungan bersih selama mereka beroperasi adalah RM1.5 juta.
Turut dirampas, 24 komputer riba, 26 telefon bimbit, satu set komputer dan modem.
Semua tangkapan dan rampasan dibawa ke IPD Ampang Jaya untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(g) , Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen.
#Ampang
#banglo mewah
#hub judi
#Imigresen
#Jabatan Siasatan Jenayah
#jenayah
#judi atas talian
#mata wang yuen
#operasi
#operasi khas
#pertaruhan
#risikan
#rumah banglo
#serbuan
#siasatan
#sindiket
#suspek
#wanita
#warga china
#WeChat Pay