Polis serbu premis perniagaan mata wang kripto

Bernama
Oktober 2, 2020 07:33 MYT
Polis merampas 48 mesin 'Mining Bitcoin,' satu set Komputer, satu unit pemprosesan pusat (CPU), kipas ekzos (6), modem (2) dan satu kad sim di premis itu untuk siasatan selanjutnya. -Gambar hiasan
REMBAU: Sebuah premis menjalankan perniagaan mata wang digital atau kripto yang disyaki mencuri bekalan elektrik diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di Taman Gunung Tahan Utama, Kota di sini pada kira-kira 10.15 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau DSP Anuar Bakri Abdul Salam berkata serbuan ke atas premis itu dilakukan hasil maklumat orang awam dan turut dibantu Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"TNB telah memotong bekalan elektrik yang dipasang secara tidak sah manakala polis terpaksa memecahkan pintu premis berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sejumlah Pelayan Komputer yang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan mata wang Kripto," menurutnya dalam kenyataan, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata pihak polis telah merampas sebanyak 48 mesin 'Mining Bitcoin,' satu set Komputer, satu unit pemprosesan pusat (CPU), kipas ekzos (6), modem (2) dan satu kad sim di premis itu untuk siasatan selanjutnya.
Tiada tangkapan dilakukan setakat ini dan kes dirujuk di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990, katanya.
-- BERNAMA
#mata wang digital #TNB #polis #jenayah #siasatan #kripto #Tenaga Nasional Berhad
;