Polis serbu premis hiburan, tahan lapan GRO dari Vietnam
Sinar Harian
Jun 12, 2022 13:00 MYT
Jun 12, 2022 13:00 MYT
KUALA LUMPUR: Sebuah pusat hiburan di sini digempur dan polis menahan lapan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing dalam serbuan itu, pada Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, serbuan pada 12.05 tengah malam itu dijalankan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan.
"Dalam serbuan ini lapan wanita warga Vietnam disyaki GRO ditahan. Turut ditahan 11 lelaki warga Bangladesh yang merupakan pekerja premis serta penjaga premis iaitu seorang lelaki tempatan.
"Ketika serbuan, wanita asing terbabit sedang melayan pelanggan berhibur dan minum. Siasatan awal mendapati wanita ini dibayar RM100 hingga RM150 setiap jam bagi layanan yang diberikan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata, berdasarkan soal siasat awal, wanita-wanita asing berkenaan mendakwa, bekerja di premis itu sejak tiga bulan lalu.
Tambah Habibi, premis tidak berlesen itu dikesan sentiasa mengunci pintu untuk menyukarkan tindakan atau serbuan pihak berkuasa.
Menurutnya, seramai 85 individu berusia 20 hingga 61 tahun melibatkan pekerja serta pengunjung diperiksa untuk proses dokumentasi dalam operasi itu.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.