Polis serbu makmal, rampas dadah RM4.6 juta
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 27, 2024 13:30 MYT
Mei 27, 2024 13:30 MYT
GEORGE TOWN: Polis berjaya membongkar makmal memproses dan mengedar dadah di rumah sewa di Pulau Pinang selepas menahan seorang lelaki Jumaat lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata dalam serbuan pada Jumaat dan Sabtu lepas, polis merampas dadah bernilai RM4.6 juta dan menahan dalang utama yang bergerak 'solo' menjalankan aktiviti berkenaan.
Kok Chin berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di persimpangan Jalan Changkat Sungai Ara dan pemeriksaan lanjut suspek membawa pasukan serbuan ke dua buah rumah sewa di Sungai Ara dan Batu Uban yang dijadikan sebagai makmal dan tempat menyimpan dadah sebelum diedar kepada pelanggan.
Kok Chin berkata, siasatan juga mendapati suspek yang tidak berkerja itu mula bergiat aktif memproses dadah berkenaan sejak pertengahan Januari lepas.
Selain itu, suspek dikatakan belajar memproses dadah daripada YouTube dan menghubungi kenalan bagi bertanyakan 'resepi' serta cara memasak bahan itu.
"Modus operandi (MO) suspek adalah dia selain berperanan sebagai tukang masak atau chemist untuk hasilkan dadah, dia juga berperanan sebagai penjaga stor dan penghantar bekalan kepada pelanggan," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Katanya, polis percaya suspek adalah ketua sindiket itu dengan menjalankan aktiviti bersendirian namun tidak menolak kemungkinan terdapat ahli lain yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Menurut Kok Chin, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan polis menyita pelbagai aset termasuk empat kereta mewah dan dua motosikal dengan nilai keseluruhan RM5.03 juta yang didaftar atas nama adik saudara dan isterinya.
Selain dadah, polis turut menemui enam pucuk pistol bersama 100 peluru hidup dalam beg galas.
Kok Chin berkata, bahan membuat dadah berkenaan dipercayai diperolehi dari negara jiran dan diproses untuk pasaran sekitar utara tanah air termasuk Pulau Pinang serta di Lembah Klang.
Katanya dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 2.6 juta penagih.
Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah.
Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 1 Jun bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 .