Polis Sepang rampas tiga bagasi disyaki bahan proses dadah bernilai RM1 juta

Bernama
Februari 1, 2017 19:44 MYT
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Abdul Aziz Ali bersama pegawai penyiasat Inspektor Mardiah Mohamed (dua, kanan) menunjukkan bahan disyaki untuk membuat dadah yang disembunyikan dalam pembungkus tepung capati pada sidang media hari ini. - Foto Bernama
Sindiket penyeludupan dadah Sepang terbongkar dengan penemuan tiga bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 23 Januari lepas.
Ketiga-tiga beg yang tidak dituntut itu dikesan pihak jabatan siasatan jenayah narkotik Sepang.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, hasil pemeriksaan di kaunter 'hilang dan jumpa' mendapati bagasi itu dipenuhi 11 paket serbuk kristal seberat 49.5 kilogram.
"Kesemua bahan berkenaan dengan jumlah berat 49.5 kg dibalut menggunakan plastik bungkusan tepung capati dan kemudian dimasukkan ke dalam bagasi tersebut," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dipercayai, dadah dengan nilai anggaran RM1 juta itu diterbangkan dari Dhaka, Bangladesh, pada 22 Januari lalu.
Namun ketiga-tiga bagasi terbabit memiliki nama pemilik yang berlainan.
"Kami syak suspek ini sengaja tidak mengambil beg berkenaan untuk melihat gerak geri pihak polis sama ada akan merampas atau sebaliknya.
"Jika perkara sebaliknya berlaku, sudah pasti mereka akan tuntut beg terbabit sebelum dipasarkan ke dalam negara ini," katanya.
Sehingga kini masih tiada tangkapan dilakukan dan polis percaya sindiket itu dikendalikan oleh warganegara asing.
#Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali #Dadah RM1 juta #Ketua Polis Daerah Sepang #Polis KLIA #Seludup dadah
;