Polis Sentul bongkar stor, rampas dadah RM296 juta

Astro Awani
Julai 3, 2015 21:56 MYT
Polis merampas dadah bernilai RM296 juta disyaki jenis ketamin. - Astro AWANI
Polis cawangan narkotik Sentul berjaya membongkar stor simpanan dadah di Jalan Amansiara, Rawang melibatkan nilai rampasan RM296 juta.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP R Munusamy berkata, polis turut menahan seorang lelaki warganegara India berusia 36 tahun selain merampas 726 guni seberat 19,050kg serta 34 bungkusan seberat 170kg yang mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin.
Menurutnya, serbuan dilakukan hasil risikan selama sebulan dan polis percaya kesemua dadah ini dibawa masuk dari India.
Jelasnya dadah ini akan dibawa ke stor berkenaan untuk dibungkus sebelum diedar ke pasaran tempatan.
Bagaimanapun, polis masih siasat dari mana dan bagaimana dadah berkenaan dibawa masuk ke negara ini.
Turut ditahan seorang ahli perniagaan warga tempatan berusia 42 tahun dipercayai terlibat dalam aktiviti tersebut dan kedua-dua mereka ditahan dalam tangkapan berasingan.
Polis kini masih memburu beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan dadah selain masih mengenalpasti siapa dalang yang terlibat dan tempoh masa mereka bergiat aktif.
#Dadah #Ketamin #R Munusamy
;