Polis selesai kes bunuh di Tumpat dalam tempoh 90 minit

Bernama
Oktober 5, 2017 16:56 MYT
Lelaki OKU ditahan kerana dipercayai membunuh. - Gambar hiasan
Polis berjaya menyelesaikan siasatan kes kematian seorang lelaki di Kampung Ana, Tumpat malam tadi, dipercayai mangsa bunuh setelah memberkas seorang suspek serta menemui senjata yang digunakan dalam kejadian itu.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Din Ahmad berkata lelaki itu ditahan selepas sejam polis memulakan siasatan manakala serampang iaitu alat menangkap ikan milik mangsa dengan kesan darah yang dipercayai senjata yang digunakan untuk memukul kepala mangsa ditemukan berhampiran mayat lelaki itu.
"Hasil siasatan juga mendapati suspek mempunyai Kad Orang Kelainan Upaya (OKU) Kategori Ketidakupayaan Mental yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun lepas (2016)," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Din berkata suspek berusia 29 tahun, didapati pernah dipenjarakan atas kesalahan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan dibebaskan pada 2012.
"Kami menganggap kes ini sudah selesai dan mengucapkan tahniah kepada anggota dan pegawai polis yang berjaya menyelesaikan kes hanya dalam tempoh sejam setengah," katanya,
Dalam kejadian 10 malam tadi, mangsa Mohd Khairi Mohd Yusof, 47, ditemui maut dengan kesan cedera di kepala akibat dipukul oleh suspek yang dikenalinya.
Suspek yang dipercayai menghadapi masalah mental kini direman selama seminggu mulai hari ini untuk siasatan lanjut, katanya.
-- BERNAMA
#bunuh #masalah mental #OKU
;