SHAH ALAM: Polis Selangor berjaya menumpaskan sindiket mencuri dan mengubah suai pemasangan elektrik bagi aktiviti perlombongan bitcoin, yang beroperasi di sekitar negeri itu melibatkan jumlah rampasan mesin melombong bitcoin terbesar di Malaysia setakat ini bernilai RM1.282 juta.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, hasil maklumat risikan, pihak polis dan Pasukan Seal Tenaga Nasional Bhd (TNB) telah melancarkan satu operasi dan menyerbu 30 premis yang menjalankan kegiatan itu, di lapan buah daerah di Selangor.

"Operasi yang dijalankan pada 21 September itu telah menahan sembilan lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 27 tahun, yang kemudian telah menunjukkan premis-premis di bawah kawalan mereka yang berperanan sebagai juruteknik mesin," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata selain rampasan 2,137 unit mesin melombong bitcoin yang bernilai RM1.282 juta itu, polis turut merampas 10 unit laptop, lima set komputer dan enam unit grafik kad melombong 'ethereum'.

"Hasil siasatan dan risikan dipercayai aktiviti itu telah dijalankan sejak September tahun lalu dengan anggaran kerugian TNB akibat mencuri sumber elektrik bernilai RM24.36 juta," katanya.

Arjunaidi berkata reman selama dua hingga ke empat hari telah diperoleh ke atas semua suspek dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990, iaitu dengan curang menggunakan elektrik yang boleh dihukum tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

"Siasatan ini juga menjurus bagi mengetahui dalang kepada kumpulan ini sehingga boleh menjalankan aktiviti ini dalam skala besar di Selangor," katanya.

-- BERNAMA