Polis Selangor terima 35 unit pacuan empat roda baharu

Bernama
Julai 26, 2021 16:38 MYT
Mazlan melihat kenderaan pacuan empat roda pada Majlis Penyerahan Kenderaan Pasukan Toyota Hilux GS Cargo kepada Polis Kontinjen Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Polis Selangor hari ini menerima 35 unit kenderaan baharu pacuan empat roda Toyota Hilux Single CAB 2.4 jenis GS Cargo (4WD GS Cargo) yang akan diserahkan kepada setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi tujuan penugasan pihaknya.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kenderaan yang mampu memuatkan 10 anggota untuk sekali penugasan itu adalah bersesuaian bagi pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR), light strike force (LSF), membawa mayat, mengangkut barang dan sebagainya.
Jelasnya, kenderaan jenis ini adalah yang pertama diterima oleh Kontinjen Selangor yang mana sebelum ini tidak pernah menerima kereta jenis pacuan empat roda sebesar ini.
"Sebenarnya kita buat (perolehan) 400 pacuan empat roda GS Cargo merangkumi semua kontinjen. Untuk kontinjen Selangor kita bekalkan lebih (dari negeri lain) sebanyak 35 buah kerana ia kontinjen yang besar dan mempunyai daerah yang banyak.
"Dalam tempoh dua minggu lagi insya-Allah serahan kenderaan pacuan empat roda GS Cargo ini akan dilakukan di Kontinjen Kuala Lumpur...(buat masa ini serahan) di sekitar Lembah Klang untuk memudahcarakan operasi," katanya kepada Bernama dan RTM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor selepas sesi penyerahan kenderaan pasukan Toyota Hilux GS Cargo hari ini.
Sehingga kini, Mazlan berkata Kontinjen Selangor telah menerima agihan 37 kenderaan bagi 2020 dan 2021 untuk kegunaan di IPD serta balai-balai polis antaranya melibatkan 18 lori model Hino; tiga pacuan empat roda Toyota Hilux D/C 2.8 Black EDI dan dua pacuan empat roda Toyota Triton 2.4 VG Premium.
-- BERNAMA
#Polis Selangor #Timbalan Ketua Polis Negara #Mazlan Lazim #SJR #Sekatan Jalan Raya #Toyota #Hilux
;