Polis Selangor terima 220 laporan kes peras ugut sebar video aksi lucah
Umavathi Ramayah
Julai 22, 2021 20:45 MYT
Julai 22, 2021 20:45 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 220 kes jenayah pemerasan menyebarkan gambar dan video lucah dilaporkan dalam enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, 29 daripada kes itu melibatkan bekas suami, bekas teman lelaki atau kenalan mangsa.
Manakala 54 kes lagi melibatkan mangsa diperdaya sindiket menerusi laman sosial untuk membuat aksi lucah ketika sedang live tanpa menyedari aksi itu direkod.
"Sementara 137 kes lagi melibatkan individu yang tidak dikenali menghantar video bukan milik mangsa untuk tujuan menganggu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Arjuinadi menambah, antara aplikasi yang popular dalam kalangan sindiket adalah WeChat, Facebook, MiChat, Mingle, Tinder, Line dan Skype.
Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah mengugut mangsa untuk memberikan wang antara RM3,000 dan RM50,000 jika tidak mahu video mereka tidak mahu ditularkan.
"Sindiket akan memperdaya mangsa tidak mengira lelaki, wanita, umur ataupun bangsa untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan.
"Mereka akan menggunakan aplikasi yang memudahkan mangsa-mangsa berkomunikasi dan memperdaya mangsa sehingga sanggup berbogel sebelum merakam aksi lucah mereka," jelasnya.
Menurutnya, selain menggunakan akaun bank tempatan, sindiket ini juga menggunakan akaun luar negara seperti Bank Rakyat Indonesia, e-wallet, Western Union dan money changer bagi mengelakkan pergerakan mereka dikesan polis.