Polis Selangor pantau pelajar sekolah berhubung aktiviti militan
Bernama
Februari 6, 2017 21:52 MYT
Februari 6, 2017 21:52 MYT
Polis Selangor sentiasa memantau rapi pelajar sekolah di negeri ini bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan sebarang unsur negatif terutama berkaitan aktiviti militan.
Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (Operasi) Selangor, ACP Razimi Ahmad berkata usaha itu penting kerana melalui sistem teknologi maklumat anasir negatif seperti militan dan ekstremis lebih mudah disebarkan terutama kepada generasi muda.
"Polis juga ingin menasihati pelajar supaya jangan terjebak dengan aktiviti militan ataupun apa-apa unsur jenayah yang lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Jom ke Sekolah' di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam di sini hari ini.
Turut hadir pengetua sekolah itu, Sazali Mohd Karli.
Tambah Razimi, melalui siasatan dan pemerhatian pihak polis, sehingga kini tiada pelajar sekolah di Selangor terlibat dengan aktiviti militan dan ekstremis.
Sementara itu mengulas mengenai kotak aduan yang ditempatkan di semua sekolah di Selangor, Razimi berkata beliau berharap pelajar mahupun guru dapat memanfaatkan kotak berkenaan bagi menyalurkan segala bentuk aduan salah laku atau jenayah yang berlaku di sekolah.
"Polis akan menyiasat aduan yang diberi sekiranya ada keperluan, segala maklumat pengadu juga akan dirahsiakan. Jadi para pelajar tidak perlu takut untuk memanfaatkan kotak ini," katanya.
-- BERNAMA