Polis Selangor nafi dakwaan layanan istimewa tahanan terutama libatkan pegawainya
Bernama
September 16, 2022 21:35 MYT
September 16, 2022 21:35 MYT
SHAH ALAM: Polis Selangor hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa wujudnya layanan istimewa terhadap mana-mana tahanan termasuk melibatkan pegawai polis seperti yang ditularkan menerusi aplikasi Telegram, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, menegaskan bahawa tidak ada arahan atau kebenaran untuk memberikan layanan istimewa pada mana-mana tahanan seperti yang didakwa.
Katanya, pihaknya sentiasa menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perkara tersebut dipatuhi.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah memberi apa-apa layanan istimewa kepada mana-mana tahanan di dalam lokap dan tidak akan berkompromi terhadap salah laku mana-mana pihak termasuklah pegawai atau anggotanya sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Arjunaidi berkata berdasarkan siasatan yang dijalankan mendapati gambar yang ditularkan itu diambil oleh seorang anggota polis yang merakamkan dari sudut menampakan kipas dihalakan ke sel yang dihuni oleh pegawai polis tersebut.
Namun jelasnya, kipas berkenaan dibekalkan untuk kegunaan anggota bertugas di ruang bersebelahan sel tersebut.
"Susulan itu, seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berumur 28 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.
-- BERNAMA