Polis Selangor gempur aktiviti perjudian dalam talian

Sinar Harian
Januari 17, 2022 05:20 MYT
Arjunaidi (tengah) menunjukkan antara peralatan yang dirampas menerusi operasi membanteras perjudian dalam talian yang dijalankan bermula Jumaat. -Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Seramai 89 individu diberkas dalam operasi khas membanteras perjudian dalam talian di Klang Selatan dan Kajang bermula pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua tangkapan melibatkan kategori perjudian dalam talian dan loteri awam tanpa lesen.
"Seramai 67 individu ditahan melibatkan tangkapan perjudian dalam talian dan 22 individu ditahan melibatkan loteri awam tanpa lesen.
"Polis turut merampas pelbagai peralatan perjudian terdiri daripada 77 buah komputer,182 buah komputer riba, 33 buah telefon bimbit, tujuh unit modem, enam unit router dan wang tunai berjumlah RM109,879," katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Selangor pada Isnin.
Katanya, sasaran operasi menjurus kepada aktiviti perjudian dalam talian yang menggunakan komputer riba, tablet dan peralatan elektronik lain sebagai medium perjudian," katanya.
Menurutnya, statistik tangkapan perjudian di seluruh Kontinjen Selangor pada tahun 2020 dan 2021 membabitkan 6,432 kertas siasatan dibuka dengan jumlah tangkapan seramai 10,649 orang.
"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 5,859 bersamaan 92 peratus kertas siasatan telah berjaya dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan perjudian di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 melibatkan dua kategori iaitu perjudian dalam talian dan Loteri Awam Tanpa Lesen.
"Bagi kategori perjudian dalam talian sebanyak 2,106 kertas siasatan telah dibuka dengan jumlah tangkapan seramai 5,792 orang.
"Bagi kategori Loteri Awam Tanpa Lesen sebanyak 4,326 kertas siasatan telah dibuka dengan jumlah tangkapan seramai 4,857 orang," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#judi dalam talian #arjunaidi mohamed #Akta Rumah Judi Terbuka 1953 #Klang Selatan
;