Polis selamatkan wanita warga asing disyaki mangsa dera

Bernama
Julai 14, 2024 16:10 MYT
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata wanita berusia 41 tahun itu diselamatkan kira-kira 12.45 tengah malam selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Indonesia diselamatkan polis selepas disyaki menjadi mangsa dera majikannya di sebuah rumah di Taman Tropika Kemensah, Ampang di sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata wanita berusia 41 tahun itu diselamatkan kira-kira 12.45 tengah malam selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.
"Susulan itu, seorang wanita warga tempatan berusia 45 tahun ditahan dan beberapa barangan berkaitan kes turut dirampas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan manakala wanita tempatan itu direman hingga Selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
-- BERNAMA
#warga asing #mangsa dera majikan #Taman Tropika Kemensah #Akta Antipemerdagangan Orang