Polis selamatkan wanita Indonesia disyaki dieksploitasi majikan

Bernama
Julai 13, 2021 05:25 MYT
Seorang wanita warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi oleh majikannya diselamatkan polis dalam satu serbuan di sebuah kedai makan di Tandop.
ALOR SETAR: Seorang wanita warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi oleh majikannya diselamatkan polis dalam satu serbuan di sebuah kedai makan di Tandop, dekat sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah SAC Suresh Kumar berkata, wanita berusia 26 tahun itu diselamatkan pada 5.45 petang oleh sepasukan anggota polis daripada jabatan itu susulan aduan awam.
"Wanita yang berasal dari Medan, Indonesia itu telah bekerja selama empat tahun tanpa dibayar gaji dan bayaran kerja lebih masa.
Selain itu, pasport mangsa juga telah disimpan oleh majikannya.
"Mangsa diselamatkan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 untuk diletakkan di Rumah Perlindungan di bawah perintah perlindungan interim," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Beliau berkata polis turut menahan seorang wanita tempatan berumur dalam lingkungan 40-an yang merupakan majikan kepada mangsa bagi membantu siasatan.
Katanya, mangsa dan wanita tempatan berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 12 akta yang sama.
"Polis akan meneruskan usaha membanteras aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di negeri ini dan orang ramai boleh menyalurkan maklumat menerusi talian 04-7741403 sambungan 105," katanya.
-- BERNAMA
#wanita indonesia #mangsa eksploitasi #majikan #Kedai makan #Suresh Kumar #Akta Antipemerdagangan Orang #Antipenyeludupan Migran
;