Polis selamatkan mangsa culik, sembilan suspek ditahan

Astro Awani
Disember 4, 2015 23:32 MYT
Sembilan individu itu ditahan susulan tindakan mereka melarikan seorang lelaki yang dikatakan berhutang sebanyak RM32,000. - Gambar hiasan
Polis Selangor berjaya menyelesaikan kes culik selepas tertangkapnya sembilan individu termasuk dua wanita dalam tiga operasi berasingan di sekitar Klang sejak Khamis dan berakhir awal pagi Jumaat.
Sembilan individu itu ditahan susulan tindakan mereka melarikan seorang lelaki yang dikatakan berhutang sebanyak RM32,000.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata semua suspek diberkas selepas mendapat aduan dari ahli keluarga mangsa.
Bertindak atas maklumat dan risikan, polis menangkap seorang lelaki di hadapan sebuah restoran di Jalan Pekan Baru 36, Klang pada jam 7.30 malam Khamis.
Sebuah kereta jenis Toyota Vios yang digunakan untuk menculik mangsa turut dirampas.
Polis telah memohon tahanan reman ke atas kesemua suspek pada Jumaat bagi membantu siasatan.
Dengan tertangkapnya sembilan individu terbabit, polis turut berjaya menumpaskan kegiatan judi haram atas talian.
Pada masa sama, 27 unit telefon mudah alih, laptop, pasport, buku cek, buku akaun bank, wang tunai lebih RM21,000 dan kad SIM telefon bimbit turut dirampas dipercayai diguna untuk tujuan judi tersebut.
#culik #jenayah #judi haram #Polis Selangor
;