Polis selamatkan lapan warga Bangladesh dijadikan buruh paksa di Lojing

Bernama
Januari 23, 2025 22:15 MYT
Polis menyelamatkan lapan lelaki Bangladesh yang disyaki diperdaya dan dijadikan buruh paksa dalam serbuan di sebuah ladang sayur di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan pada Selasa. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis menyelamatkan lapan lelaki Bangladesh yang disyaki diperdaya dan dijadikan buruh paksa dalam serbuan di sebuah ladang sayur di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan pada Selasa.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman SAC Soffian Santong berkata mereka yang diselamatkan berusia lingkungan 27 hingga 47 tahun dan merupakan pekerja ladang yang tidak dibayar gaji walaupun terdapat antara mereka telah bekerja selama tujuh bulan.
Beliau berkata serbuan berkenaan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada 12.30 tengah hari 21 Jan.
"Polis turut menahan tiga individu tempatan berusia lingkungan 32 hingga 35 tahun yang merupakan pemilik ladang sayur berkenaan dan pembantunya mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut menahan 21 pendatang asing melibatkan warganegara Bangladesh, Myanmar, Sri Lanka dan Indonesia.
"Semua pekerja ladang berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63," katanya.
-- BERNAMA
#warga Bangladesh #buruh paksa #Lojing #Gua Musang
;