Polis selamat 12 mangsa eksploitasi, lapan individu ditahan
Bernama
Januari 24, 2024 20:50 MYT
Januari 24, 2024 20:50 MYT
SEREMBAN: Polis menahan lapan individu berumur 20 hingga 54 tahun disyaki melakukan eksploitasi terhadap 12 warga asing menerusi Op Mega Pembanteras Jenayah TIP dalam enam serbuan berasingan di daerah ini, Kuala Pilah dan Rembau pada 22 dan 23 Jan lepas.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata mangsa yang diselamatkan membabitkan seorang lelaki dan 10 wanita Thailand serta seorang wanita Kemboja, kesemuanya berusia antara 17 dan 73 tahun.
"Fokus utama adalah membanteras eksploitasi ke atas mangsa kanak-kanak, wanita, warga emas, orang kurang upaya (OKU) yang digunakan untuk mengaut keuntungan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata menerusi serbuan itu, polis turut menahan 15 warga asing berusia 28 hingga 49 tahun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen, serta merampas dua kereta, sebuah motosikal, lima telefon bimbit, 49 jenis barangan lelaki, 315 jenis makanan serta dan tunai RM116.
Beliau berkata kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda.
-- BERNAMA
#Polis Negeri Sembilan
#Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff
#Op Mega Pembanteras Jenayah TIP
#eksploitasi
#warga asing