Polis sedia siasat kes buli di UPNM jika masih ada - Ketua Polis KL

Afiezy Azaman
Disember 5, 2024 11:40 MYT
Rusdi berkata, Polis Diraja Malaysia sentiasa bersedia untuk menerima laporan daripada mana-mana pihak termasuk mangsa, keluarga atau daripada pihak UPNM sendiri. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Mereka yang menjadi mangsa penganiayaan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) diminta tampil membuat laporan kepada polis sekiranya masih terdapat kes dera atau buli yang tidak dilaporkan.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersedia untuk menerima laporan daripada mana-mana pihak termasuk mangsa, keluarga atau daripada pihak UPNM sendiri.
"Kita bersedia bila-bila masa untuk jalankan siasatan dan akan mengambil tindakan mengikut proses undang-undang.
"Setakat ini dua kes penganiayaan di UPNM telah dituduh di mahkamah, yang datang membuat laporan adalah mangsa sendiri.
"Sepanjang siasatan dibuat kerjasama diberikan sepenuhnya oleh pihak UPNM kepada polis sebab itu siasatan dapat dibuat dengan cepat dan berkeputusan," katanya kepada Astro AWANI, semasa berkunjung ke Pusat Penyiaran Asia, Astro Malaysia Holdings Berhad, di Bukit Jalil, di sini, pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan beberapa siri kejadian buli berlaku di UPNM sehingga membawa kepada tindakan pembatalan perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap lima Pegawai Kadet (PK) Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM.
Dua daripada lima suspek telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Kes buli di UPNM turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menitahkan supaya budaya penderaan di UPNM dihentikan serta-merta.
Dalam titah sulung selaku Canselor UPNM, baginda meminta semua pihak untuk berusaha menamatkan budaya tidak sihat itu dan mengembalikan semula nama baik universiti berkenaan.
#kes buli UPNM #Universiti Pertahanan Nasional Malaysia #kes penderaan #pegawai kadet
;