Polis sedang kesan dua wanita dipercayai terlibat pembunuhan Kim Jong Nam
Astro Awani
Februari 15, 2017 16:29 MYT
Februari 15, 2017 16:29 MYT
Suspek wanita berkenaan dikatakan menyerkup muka Jong Nam dengan kain dipercayai mengandungi cecair beracun sebelum melarikan diri. - Foto Reuters
Polis sedang mengesan dua wanita dipercayai terlibat dengan pembunuhan Kim Jong Nam iaitu abang tiri kepada presiden Korea Utara, Kim Jong Un.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat dilaporkan berkata, wanita berkenaan dikatakan menyerkup muka Jong Nam dengan kain dipercayai mengandungi cecair beracun sebelum melarikan diri.
Wajah suspek terbabit dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Pemeriksaan awal mendapati seorang wanita yang mempunyai mirip wajah warga Korea mendekati mangsa sebelum menyerkup kepalanya secara tiba-tiba.
Dalam pada itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan, lelaki warga Korea Utara yang meninggal dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam adalah Kim Jong Nam dengan nama dalam pengenalannya adalah Kim Chol.
Proses bedah siasat akan dilakukan bagi mengenalpasti punca sebenar kematian.
Kim Jong Nam berada di Malaysia sejak 6 Februari lalu.
#Abdul Samah Mat
#dibunuh di KLIA
#dibunuh di Malaysia
#kim jong nam
#Kim Jong-un
#Pemimpin Korea Utara
#polis Malaysia