Polis sedang buru beberapa lagi anggota kumpulan pengganas Sulu - KPN
Bernama
Jun 27, 2014 17:24 MYT
Jun 27, 2014 17:24 MYT
Polis sedang memburu beberapa lagi anggota kumpulan pengganas Sulu yang terbabit dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada Februari tahun lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ia susulan tangkapan enam individu dalam operasi khas sekitar daerah Kunak di Sabah, Rabu lepas kerana disyaki menganggotai kumpulan terbabit.
"Enam orang yang kita tangkap di kawasan Kunak, Sabah itu kekal jumlahnya, walaupun ada lagi sasaran yang sedang kita buru. Saya percaya mereka (anggota kumpulan) tak akan lari ke mana dan hanya tunggu masa untuk diberkas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya berhubung dakwaan empat daripada enam yang ditahan itu terlepas daripada tahanan, selepas majlis penganugerahan Beret 69 Komando dan Sayap Kehormat di Markas Latihan Luar, Ladang Allagar, Sungai Nyior di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Salleh Mat Rasid, Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.
Berhubung dakwaan perintah berkurung dilaksanakan di Kunak ketika ini, Khalid menafikan perkara itu.
Seorang anggota polis berpangkat koperal antara enam ditahan dalam operasi itu oleh Cawangan Khas Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 124 (C) Kanun Keseksaan dan akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Pada Februari tahun lepas, sekumpulan pengganas bersenjata menceroboh Lahad Datu dan berlaku pertempuran yang mengorbankan nyawa 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia, iaitu lapan polis serta dua tentera.