Polis Sarawak tahan 11 individu palsukan dokumen ujian RT-PCR

Nuzuluddin Abdul Razak, Fadilah Sulaiman
Mac 12, 2021 20:12 MYT
Kesemua suspek itu ditahan pada 7 dan 12 Mac di sekitar Bandaraya Kuching.
KUCHING: 11 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan dokumen ujian RT-PCR COVID-19.
Kesemua suspek itu ditahan pada 7 dan 12 Mac di sekitar Bandaraya Kuching.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Sarawak, Superitendan Maria Rasid berkata, penahanan itu dilakukan susulan laporan polis yang diterima pihaknya pada 6 dan 8 Mac lalu.
"Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak sedang menjalankan siasatan di bawah seksyen 420 kanun keseksaan dengan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari 10 tahun, sebatan serta denda.
"Bagaimanapun lapan daripada mereka telah dibebaskan dengan jaminan pihak polis,” jelasnya semasa Sidang Media COVID-19 di Kuching pada Jumaat.
Tambah Maria, kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Sarawak dengan cadangan pertuduhan kes dalam tempoh terdekat setelah siasatan selesai.
Katanya, siasatan awal mendapati, sindiket itu menawarkan bayaran RM50 ke RM100 untuk setiap dokumen palsu berkenaan.
"Sindiket ini juga melibatkan klinik swasta yang telah diluluskan untuk melakukan ujian rt-PCR," katanya.
Sementara itu, pihak Polis menasihatkan permis kesihatan atau makmal yang menawarkan perkhidmatan ujian saringan COVID-19 supaya bertanggugjawab dan tidak bekerjasama dalam sebarang penipuan melibatkan mana-mana dokumen kesihatan.
Antara yang turut dirampas semasa penahanan suspek ialah sebuah unit telefon bimbit berserta beberapa keping kad sim milik salah seorang suspek.
#individu ditahan #dokumen palsu RT-PCR #Sarawak #Kuching #Klinik swasta #Superintendan Maria Rasid #jenayah #kesihatan #suspek #siasatan #COVID-19 #ujian saringan
;