Polis Sarawak sedang kesan pemilik Twitter @swakheadhunter
Bernama
Julai 23, 2015 17:29 MYT
Julai 23, 2015 17:29 MYT
Polis Sarawak sedang mengesan identiti pemilik akaun twitter Republic of Sarawak melalui @Swakheadhunter bagi membantu siasatan kerana didakwa menghasut rakyat Sarawak untuk berpisah daripada Malaysia.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, SAC Dev Kumar M.M Sree Shunmugam berkata siasatan akan dibuat mengikut Akta Hasutan.
"Semalam satu laporan telah dibuat di Balai Polis Sekama di sini oleh seorang anggota polis. Anggota polis berkenaan membuat laporan selepas melihat tweet oleh @Swakheadhunter yang berbau hasutan," katanya kepada Bernama, hari ini.
Sementara itu Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman yang dihubungi Bernama mengesahkan polis masih belum menangkap pemilik akaun Twitter berkenaan.
Semalam Bernama melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui laman twitternya telah mengarahkan Pusat Tindakan Siasatan Siber Polis (PCIRC) mengesan pemilik akaun Twitter @Swakheadhunter untuk ditahan dan disiasat di bawah Akta Hasutan.