Polis Sarawak mohon peruntukan darurat, bina penempatan sementara IPD Belaga
Munirah Mudzamli
Disember 14, 2020 20:34 MYT
Disember 14, 2020 20:34 MYT
KUCHING: Polis Kontinjen Sarawak akan memohon peruntukan darurat bagi menyediakan kabin sebagai penempatan sementara Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, ia adalah langkah kecemasan selepas bangunan di IPD itu musnah seratus-peratus dalam kejadian kebakaran petang Isnin.
Katanya, kabin tersebut akan diletakkan di lokasi berhampiran tapak premis yang musnah.
"Dalam kejadian yang bermula pada jam 1 petang itu, kesemua rekod dan aset yang tersimpan musnah kecuali senjata dan kenderaan," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Khirudin Drahman, api dipercayai bermula dari pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik akibat litar pintas.
"Cuaca yang panas dan berangin menyebabkan api marak dengan cepat, ditambah struktur bangunan yang diperbuat daripada kayu dan zink.
"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, malah dua orang kena tuduh yang ditahan di lokap turut diselamatkan," katanya
Seramai empat anggota Pasukan Bomba Sukarela Belaga diketuai Pengerusinya Abu Mutalib Mokhtar telah melaksanakan kerja-kerja pemadaman pada jam 1.15 petang sambil dibantu beberapa petugas agensi lain.
Api berjaya dipadam sepenuhnya sekitar jam 3.45 petang.
Balai bomba terdekat dari lokasi kejadian adalah di Bintulu, yang memakan masa empat jam perjalanan.
#IPD Belaga terbakar
#kabin sementara
#Datuk Aidi Ismail
#Pesuruhjaya Polis Sarawak
#Polis Sarawak
#kebakaran
#Belaga
#Sarawak