Polis sangkal laporan plot terbaharu tawan Sabah dari selatan Filipina

Astro Awani
Disember 9, 2021 18:45 MYT
Idris menafikan laporan berita mengenai 19 'datuk bandar' dari selatan Filipina didakwa terlibat dalam plot baharu untuk menawan negeri itu. - fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah menafikan dakwaan berhubung 19 "datuk bandar" dari selatan Filipina terlibat dalam plot baharu untuk menawan negeri itu.
Terdahulu, satu portal tempatan melaporkan, ada dakwaan melibatkan satu kumpulan militan yang berpangkalan di Sulu merekrut 600 individu untuk menyerang dan menghantar pengintip di negeri itu.
Portal berita itu pula memetik laporan South China Morning Post yang mendakwa wujud pertemuan yang dipercayai diatur pegawai kanan kerajaan di selatan Filipina.
Komander Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCom), Datuk Ahmad Fuad Othman ketika dihubungi Astro AWANI mendedahkan, pasukan keselamatan itu akan menjalankan siasatan bagi mengesahkan perkara berkenaan.
Menurutnya, pasukan risikan ESSCom sudah mendapat maklumat berhubung dakwaan itu sebelum ini dan pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut dari rakan sejawat di negara jiran.
“Kita masih cuba mengesahkan dakwaan ini," katanya.
Ahmad Fuad menegaskan bahawa kawalan sempadan dan rondaan sentiasa diberi perhatian ketat dari semasa ke semasa dan memberi jaminan bahawa tiada pergerakan tidak normal yang dikesan berlaku di perairan negara setakat ini.
BACA: Kerajaan pandang serius laporan tentera Sulu rancang serang Sabah
Khabar angin berhubung plot rahsia dari selatan Filipina untuk menawan Sabah diterima perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), sejak awal bulan ini.
Memetik laporan Bernama, Ahmad Fuad berkata, pihaknya cuba mendapatkan maklumat-maklumat tambahan serta pengesahan berhubung khabar angin itu daripada pihak keselamatan di Filipina.
"Khabar angin seumpama ini tersebar setiap kali pilihan raya di negara itu (Filipina) semakin hampir dan khabar angin ini dikhuatiri dijadikan plot propaganda untuk pilihan raya di sana dalam meraih undi," katanya.
Namun menurutnya, ESSCom tidak pernah mengambil ringan sebarang ancaman, malah setiap maklumat atau khabar angin yang diperoleh dianggap serius dan perlu disiasat.
"Ini menggambarkan komitmen sebenar pasukan keselamatan dalam memastikan kedaulatan Sabah tidak diganggu-gugat pihak luar yang berniat jahat menimbulkan kekacauan dan ketegangan di negeri ini," katanya.
#serang Sabah #tentera Sulu #Pesuruhjaya Polis Sabah
;