Mayat seorang wanita, dipercayai dibunuh ditemukan di sebuah rumah di Cyberjaya, pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi Bernama mengesahkan penemuan mayat itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai penemuan mayat itu dan berkata sidang media mengenai perkara itu akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor petang Khamis.

Difahamkan penemuan mayat itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kehilangan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, yang dilapor hilang, sejak seminggu lepas.

Kali terakhir mangsa dilihat di kawasan parkir Hospital berkenaan kira kira jam 4 petang pada 8 Mei lalu.

Usaha keluarga dan rakan serumah mangsa cuba mengesan manga menemui jalan buntu.

Mangsa dikatakan telah bertugas di hospital berkenaan sejak lima tahun lalu dan tinggal berjauhan dari suami serta tiga anaknya di Kuala Pilah.

Difahamkan jenazah akan dikebumikan di kampung halamannya di Mantin Negeri Sembilan selepas solat Asar hari ini.