Polis sahkan terima laporan dokumen draf penghakiman kes Najib bocor

Bernama
Ogos 24, 2022 22:28 MYT
Polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai laporan yang diterima petang semalam. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Polis telah menerima dua laporan mengenai dokumen tular berkaitan draf penghakiman rayuan akhir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A Asmadi Abdul Aziz berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai laporan yang diterima petang semalam.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi.
"Pernyataan pengadu dan pegawai komunikasi korporat telah diambil. Pernyataan beberapa orang lagi akan diambil," menurutnya dalam kenyataan melalui aplikasi WhatsApp hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata pegawai mahkamah membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.
Semalam, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam satu kenyataan turut mengesahkan draf penghakiman bertulis bertajuk 'Najib Razak's SRC Appeal: The Judgement' didapati bocor namun menegaskan ia belum dimuktamad dan dokumen itu telah diubah suai.
-- BERNAMA
#Kes Najib Razak #Mahkamah Persekutuan #draf penghakiman #dokumen bocor
;