Polis sahkan terima laporan bekas Naib Canselor UKM
Bernama
Februari 4, 2025 16:50 MYT
Februari 4, 2025 16:50 MYT
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan daripada bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berhubung dakwaan fitnah dan tohmahan yang dilontarkan kepadanya.
Ringkasan AI
- Bekas Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman, membuat dua laporan polis berhubung dakwaan fitnah dan tohmahan terhadapnya.
- Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- Menteri Pendidikan Tinggi mengesahkan peletakan jawatan Mohd Ekhwan, yang mahu menumpukan perhatian kepada perkara lain.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata dua laporan polis berkenaan dibuat pada petang semalam oleh Mohd Ekhwan.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Mohd Ekhwan Toriman beberapa hari lepas.
Zambry berkata pihaknya menerima keputusan itu kerana beliau memberikan sebab mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain.
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan terdapat unsur salah guna kuasa dan penyelewengan di UKM yang mengaitkan Mohd Ekhwan.
-- BERNAMA