Polis sahkan terima dua laporan dakwaan Menteri Hal Ehwal Agama langgar PKP

Afiezy Azaman
Mei 14, 2020 10:59 MYT
Laporan polis yang tular di media sosial mengenai dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). -Gambar Facebook Azmi Arshad
Polis mengesahkan menerima dua laporan berhubung dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, pihaknya kini telah membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) untuk tujuan siasatan awal.
“Buat masa ini, hanya rakaman percakapan pengadu diambil berhubung perkara tersebut.
“Keterangan bagi pihak lain akan diambil setelah mendapat arahan daripada pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Terdahulu, tular di media sosial Facebook gambar laporan polis yang dimuat naik individu menggunakan akaun bernama Azmi Arshad.
Dalam laporan yang dibuat pada 3 Mei lepas, seorang wanita mendakwa membaca page Facebook akaun Dr Zulkifli Al-Bakri yang memuat naik pelbagai aktiviti dilakukan sejak dilantik menjadi Menteri Agama.
Dalam laporan itu, wanita itu menyatakan terdapat pelanggaran PKP dilakukan Zulkifli antaranya pada 31 Mac apabila memuat naik gambar beliau menyampaikan surat pertukaran kepada pegawai kanan Jakim dan pada 13 April memanggil Datuk Dr Fathul Bari mengadakan mesyuarat dan bergambar tanpa mengamalkan penjarakan sosial dan banyak lagi.
Justeru, dalam laporan itu wanita berkenaan menggesa pihak polis untuk menjalankan siasatan terhadap bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu.
Astro AWANI sedang cuba mendapatkan respons Zulkifli berhubung perkara tersebut.
#Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri #Facebook #JAKIM #Kajang #media sosial #menteri #Mohd Zaid Hassan #polis #siasatan #wanita
;