Polis sahkan penahanan Che'gu Bard, akan mohon reman Isnin

Umavathi Ramayah
Julai 28, 2024 21:04 MYT
Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada Ahad ketika hadir memberi keterangan. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada Ahad ketika hadir memberi keterangan.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz.
"Kita akan mohon perintah reman di Mahkamah Majistret Putrajaya esok (Isnin) pagi," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Difahamkan penahanan itu ada kaitan dengan pendedahan ke atas dakwaan isu korupsi dan rasuah oleh pegawai tertinggi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jumaat lalu, polis dikatakan menyerbu rumah Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu namun ketika itu dia berada di Tambun, Perak bagi menghadiri Himpunan Mahkamah Rakyat Hukum Anwar.
#Che'gu Bard #TLDM #Mahkamah Majistret #reman
;