Polis sahkan objek bawah kereta Siti Kasim bom jenis IED

Astro Awani
Julai 21, 2023 17:54 MYT
Buat masa ini polis masih belum dapat mengesahkan sama ada bahan letupan itu masih aktif atau sebaliknya. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan objek mencurigakan yang ditemui di bahagian bawah kereta aktivis dan peguam Siti Kasim adalah bahan letupan termampat (IED).
Ketua Polis Daerah Brickfileds, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata buat masa ini polis masih belum dapat mengesahkan sama ada bahan letupan itu masih aktif atau sebaliknya.
"Bahan letupan ini akan diserahkan kepada pakar untuk dianalisis sebelum kesimpulan lebih terperinci dapat diberikan.
"Kita juga belum mengambil keterangan lanjut daripada pemilik kenderaan (Siti Kasim).
"Siti Kasim memaklumkan dia tidak mempunyai sebarang ancaman namun siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.
Terdahulu, sepasukan pegawai Unit Pemusnah Bom (UPB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan ujian ke atas objek dalam dua botol plastik dipasang pada bahagian berhampiran tayar belakang kereta yang dihantar ke pusat servis di Jalan Maarof, Bangsar, di sini.
Polis juga menutup hampir keseluruhan laluan berhampiran pusat servis berkenaan bagi membolehkan ujian pengesahan bahan letupan dilakukan oleh UPB dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur.
Kejadian itu dilaporkan pada jam 12.58 tengah hari.
Media sebelum ini melaporkan, Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim mendakwa objek menyerupai bom ditemui pada keretanya ketika dia menghantar kereta itu untuk diselenggara di sebuah pusat servis kenderaan di Jalan Maarof, hari ini.
Menerusi siaran langsung di Facebooknya, dia memaklumkan dua objek terbabit disangkut di bahagian belakang tayar keretanya.
Tambahnya, dia menghantar kenderaannya untuk diselenggara kerana akan ke Kelantan bagi membantu menyelesaikan isu Orang Asli di sana.
#Siti Kasim #jumpa bom #sah bom #polis
;