Polis sahkan Namewee kini berada di luar negara
Astro Awani
Ogos 2, 2016 14:04 MYT
Ogos 2, 2016 14:04 MYT
Polis telah mengenal pasti tiga lelaki yang terlibat dalam klip video, 'Oh My God' oleh penyanyi rap/komposer, Namewee yang didakwa menghina agama Islam.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab, polis kini sedang mengesan ketiga-tiga lelaki yang dikenal pasti sebaga warga asing itu.
Namewee atau nama sebenarnya, Wee Meng Chee, 33, dipercayai berada di luar negara buat masa ini.
"Polis telah pergi ke dua alamat Namewee iaitu di Kuala lumpur dan Selangor tetapi dia tiada...kami tunggu dia balik untuk rekod keterangan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Supt Maidu Abdu Bakar yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua JSJN Melaka menerima tugas sebagai Ketua JSJN PUlau Pinang daripada Timbalan Ketua JSJN Pulau Pinang DSP Ng Ah Thian yang memangku jawatan itu.
Bernama turut melaporkan polis juga telah mengenal pasti beberapa lagi individu yang merupakan pengarah, penerbit dan pemuzik yang terlibat dalam pembikinan video klip itu.
Beliau berkata setakat ini polis telah merekod keterangan empat individu terdiri daripada jawatankuasa masjid, tokong dan gereja yang digunakan Namewee dalam klip video itu.
Klip video berdurasi 4.05 minit tersebut memaparkan empat lelaki menyanyi dalam bahasa Mandarin yang didakwa menghina agama Islam itu menjadi viral dan sehingga semalam, sebanyak lima laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak.
Namewee memang tidak pernah sepi dari dilanda kontroversi.
Sebelum ini, bekas pelajar jurusan komunikasi massa Universiti Ming Chua, Taiwan pernah menggemparkan negara dengan mencipta klip video kontroversi, Negaraku yang menghina lagu kebangsaan.
Susulan itu, Namewee turut dikecam pelbagai pihak selepas memuat naik klip video mempersoal kredibiliti Tenaga Nasional Berhad.
Dalam perkembangan lain, Abdul Ghafar berkata polis akan memperketat kawalan keselamatan di Stadium Bandaraya, di sini pada perlawanan Liga Super antara Pulau Pinang dan Johor Darul Takzim (JDT), esok.
Lebih 200 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan bertugas sepanjang perlawanan itu dan penyokong bola sepak diberi amaran agar menjaga tingkah laku serta tidak membuat provokasi semasa perlawanan, katanya.
#'Oh My God' Namewee
#Abdul Ghafar Rajab
#Polis kenal pasti tiga lelaki yang terlibat dalam klip video