Polis sahkan mesej tular 'PKPD Selangor bermula 12 Disember' palsu

Fareez Azman
Disember 12, 2020 19:37 MYT
Noor Azam berkata pihaknya mengesan penularan berita palsu itu dan meminta orang ramai tidak terpengaruh dan menyebarkannya. Gambar fail
SHAH ALAM: Polis Selangor mengesahkan kenyataan yang tular mendakwa kononnya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Selangor bermula 12 Disember adalah palsu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, menegaskan kenyataan terbabit tidak benar.
"Polis telah mengesan berita palsu yang diviralkan melalui media sosial.
"'Berita' tersebut berlatarkan siaran berita televisyen tempatan dan tertera tulisan 'PKPD di Selangor serta-merta, bermula 12 Disember 2020 dan semua pintu masuk dan keluar Selangor'," katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.
Justeru, beliau meminta orang ramai supaya bertenang, tidak mudah mempercayai serta terpengaruh dengan berita disebarkan oleh pihak bertanggungjawab.
Orang ramai juga diminta agar tidak membuat sebarang perkongsian atau menyebarkan sesuatu berita dari sumber yang tidak sahih.
"Perbuatan penyebaran sebegini boleh menyebabkan kegusaran di kalangan masyarakat dan boleh mengugat ketenteraman awam," katanya lagi.
#Datuk Noor Azam Jamaludin #Ketua Polis Selangor #PKPD #Selangor #media sosial #Tular #berita palsu #PDRM #polis
;