Polis sahkan kematian anggota polis pengiring bermotosikal terlibat kemalangan

Bernama
Januari 15, 2022 22:34 MYT
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan HKL. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan kematian membabitkan seorang anggota polis pengiring bermotosikal cawangan Istana Negara setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Tunku, Bukit Tunku, di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata mangsa yang berusia 46 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur.
Siasatan awal mendapati dalam nahas pada pukul 6 petang itu motosikal Kawasaki GTR yang ditunggang mangsa melanggar sisi sebelah kanan sebuah Perodua Axia yang pada sama sedang membelok di tempat kejadian untuk masuk ke rumah dari arah yang sama.
Sarifudin memaklumkan pemandu kereta berusia 31 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
#kematian anggota polis #polis pengiring bermotosikal #cawangan Istana Negara #Jalan Tunku #bukit tunku
;