Polis sahkan insiden wanita maut di 1 Utama, saksi diminta tampil bantu siasatan

Hilmi Malik
Mei 19, 2021 17:04 MYT
Mayat tersebut merupakan seorang wanita warga tempatan berusia 33 tahun yang disyaki terjun dari tingkat empat kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Polis Petaling Jaya mengesahkan penemuan mayat seorang wanita yang dikatakan jatuh dari tingkat empat di pusat beli-belah 1 Utama pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pada jam 12.45 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati mangsa merupakan wanita warganegara tempatan berusia 33 tahun.
“Mangsa disyaki terjun dari tingkat empat bangunan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Mohamad Fakhrudin memberitahu, mayat wanita tersebut telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat.
Setakat ini katanya, siasatan lanjut masih lagi giat diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Polis meminta mana-mana saksi yang berada di tempat kejadian untuk tampil membantu siasatan pihak polis.
Terdahulu, pengurusan pusat beli-belah itu menerusi kenyataannya, memaklumkan kejadian itu dikendalikan oleh pasukan tindak kecemasan pusat beli-belah berkenaan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
#mayat #wanita #Petaling Jaya #polis #terjun #1 Utama #Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid
;