Polis sahkan iklan guna nama, gambar bekas Mufti Selangor palsu
Bernama
September 4, 2023 10:45 MYT
September 4, 2023 10:45 MYT
SHAH ALAM: Polis Selangor mengesahkan iklan pelaburan yang menggunakan nama bekas Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid adalah palsu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia berikutan pihaknya menerima laporan berkaitan iklan tersebut daripada Mohd Tamyes yang merupakan pengadu pada 9.43 malam tadi (3 Sept).
Beliau (Mohd Tamyes) membuat laporan polis dan menafikan pembabitannya dalam iklan yang dipaparkan di laman sosial Facebook atas nama 'Investor City'.
"Iklan tersebut adalah palsu dan tiada kaitan dengan Mohd Tamyes manakala laporan polis yang diterima dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk siasatan terperinci," katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Hussein turut menasihatkan orang ramai agar tidak terperdaya serta terpengaruh dengan iklan dan tawaran di media sosial yang menggunakan identiti individu penting. - BERNAMA