Polis sahkan identiti mayat ditemui hampir reput dalam parit

Abdul Hadi Che Awang
Julai 1, 2020 23:46 MYT
Mayat mangsa yang ditemui oleh seorang pekerja kedai makan pada petang Rabu, merupakan seorang peniaga yang dilaporkan hilang sejak 15 Jun lalu. - Astro AWANI
Pihak polis mengesahkan identiti mayat seorang lelaki hampir reput yang ditemui terapung dalam sebatang parit di kawasan Bandar Perdana, Sungai Petani kira-kira jam 4 petang pada Rabu merupakan seorang lelaki warga tempatan.
Mangsa, V. Ravichandaran, 57 tahun, yang ditemui oleh seorang pekerja kedai makan pada petang Rabu, merupakan seorang peniaga yang dilaporkan hilang sejak 15 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Assisten Komisioner Adzli Abu Shah memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat terbabit kira-kira jam 5 petang tadi.
Pihaknya kemudian bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui mayat seorang lelaki yang hampir reput dan sudah berbau di dalam parit berkenaan sekitar kawasan belukar di Bandar Perdana.
BACA: Mayat hampir reput ditemui terapung dalam parit
"Mayat ni kita anggarkan (sudah) dua minggu. Siasatan lanjut kita tengok seluar yang dipakai oleh mayat itu bahawa si mati ini adalah lelaki tempatan umur 57 tahun dan semakan berdasarkan identiti dia, memang ada laporan orang hilang yang dibuat pada 15 hari bulan enam (Jun) yang dibuat oleh isteri mangsa.
"Buat masa ini kita siasat di bawah kes mati mengejut (SDR). Kita bawa ke hospital untuk doktor melihat kecederaan (yang dialaminya), dan kita tengok memang ada kesan kecederaan dipercayai dimakan oleh binatang buas.
"Dah terendam dua minggu, ikut kata forensik bomba pun memang dah dua minggu," katanya dalam satu kenytaan hari ini.
Tambah Adzli, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Halim (HSAH) bagi proses bedah siasat.
Setakat ini, jelasnya, kes diklasifikasi sebagai kes kematian mengejut.
#Bandar Perdana #mayat hampir reput #parit #Polis Daerah Kuala Muda #Sungai Petani #V Ravichandaran
;