Polis sahkan bom diterima di bangunan MOTAC adalah palsu

Bernama
Jun 5, 2024 21:20 MYT
Asmadi berkata, bungkusan itu, yang diterima pada 11.19 pagi dan dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran beralamat dari Sungai Buloh, mengandungi paip PVC serta pemasa yang menyerupai bom. - Gambar fail/Sinar Harian
PUTRAJAYA: Polis mengesahkan bungkusan yang didakwa mengandungi bom dan dialamatkan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing hari ini adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, bungkusan itu, yang diterima pada 11.19 pagi dan dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran beralamat dari Sungai Buloh, mengandungi paip PVC serta pemasa yang menyerupai bom.
"Pada 2.45 petang, bungkusan itu dibawa naik ke Tingkat 14 yang merupakan pejabat sementara Menteri dan semasa bungkusan dibuka, didapati kotak itu ada paip PVC dan wayar dipercayai bom.
"Kita pun memanggil Unit Pemusnah Bom (UPB) untuk buat pengesahan dan kita menggunakan dua anjing pengesan bom manakala pihak UPB menggunakan teknologi mereka untuk mengesahkan, akhirnya kita dapati ia hampir-hampir menyerupai bom tetapi kandungannya negatif atau hoax," katanya kepada media selepas melakukan tinjauan di bangunan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
A. Asmadi berkata pihaknya menerima panggilan daripada Tiong berhubung perkara itu pada 3.21 petang dan sepasukan anggota polis serta UPB dengan dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dihantar ke lokasi.
Beliau berkata sebaik tiba di lokasi, pihaknya mengarahkan agar bangunan itu dikosongkan serta-merta.
A.Asmadi berkata kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
"Kita akan siasat dari pelbagai sudut yang berkaitan untuk memastikan siapakah pelaku sebenarnya. Kita tidak akan bekompromi berkaitan isu keselamatan terutama melibatkan menteri itu sendiri," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata bangunan MOTAC disahkan selamat dan pekerja boleh kembali bertugas namun pihaknya meminta pengurusan premis itu untuk terus mempertingkat aspek keselamatan.
"Sayapun dah memberi nasihat kepada pihak pengurusan supaya apa jua bungkusan yang dialamatkan kepada Menteri itu sendiri supaya ada prosedur operasi standard, tak boleh sewenang-wenangnya diterima," katanya.
Beliau turut meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung perkara itu.
-- BERNAMA
#Unit Pemusnah Bom #MOTAC #paip PVC #Anjing pengesan
;