Polis sah terima laporan kehilangan Muhammad Nidza Afham

Bernama
Ogos 14, 2024 11:14 MYT
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada adik mangsa pada 4.22 pagi.
SHAH ALAM: Polis mengesahkan menerima laporan kehilangan penyanyi serta YouTuber Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, yang telah keluar rumah pada 7.45 petang semalam dan belum pulang hingga kini.

Ringkasan AI
  • Penyanyi dan YouTuber Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, dilaporkan hilang selepas keluar rumah pada 7.45 petang semalam untuk berjoging di Stadium Sultan Sulaiman, Klang menggunakan perkhidmatan e-hailing.
  • Adik mangsa menemui telefon pintar iPhone dan dompet milik Muhammad Nidza Afham di lokasi terakhir yang dikesan melalui aplikasi 'Find My iPhone' di Jambatan Kota, berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK). Kad ATM beliau didapati hilang.
  • Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Klang Selatan atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada adik mangsa pada 4.22 pagi, yang menyatakan abangnya ketika itu memakai baju berwarna biru hitam keluar dari rumah di Bandar Puteri, Klang menggunakan perkhidmatan pengangkutan e-hailing ke Stadium Sultan Sulaiman, Klang untuk berjoging.
"Pada 9.04 malam, teman wanita Muhammad Nidza Afham menghubungi beliau dan mendapati panggilan tersebut tidak dapat disambungkan.
"Teman wanitanya mendapati lokasi terakhir keberadaan Muhammad Nidza Afham menerusi aplikasi 'Find My Iphone' adalah di Jambatan Kota yang terletak berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Cha berkata adik kepada Muhammad Nidza Afham telah pergi ke lokasi terakhir itu dan menjumpai satu telefon pintar iPhone beserta dompet yang berisi dokumen milik abangnya seperti kad pengenalan dan kad pelajar.
"Bagaimanapun, didapati kad ATM Muhammad Nidza Afham telah hilang," katanya.
Sehubungan itu, Cha meminta orang ramai yang mempunya maklumat berhubung penyanyi itu untuk menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu media melaporkan penyanyi Aufahanie memohon orang ramai mendoakan agar abangnya, Muhammad Nidza Afham yang hilang sejak malam tadi segera ditemui.
Beliau berkata abangnya keluar ke Stadium Sultan Suleiman, Klang dengan menaiki e-hailing untuk berjoging.
-- BERNAMA
#Nidza Afham Mokhtar #penyanyi serta YouTube #orang hilang #polis terima laporan