Polis sah bekas pelumba negara Elly Idzlianizar maut akibat ditetak, ditikam

Adie Sufian Zulkefli
September 12, 2024 14:30 MYT
Polis menunjukkan kereta yang dipercayai dinaiki mangsa ketika kejadian.
KANGAR: Polis mengesahkan kematian bekas pelumba Moto 3 dan Cup Prix negara, Elly Idzlianizar Elias, 40, disebabkan kecederaan parah akibat ditetak dan ditikam selepas terbabit dengan pergaduhan di Kangar dalam kejadian jam 9 hingga 10 malam Selasa lalu.
Dalam kejadian itu mangsa dipercayai pergi ke rumah seorang lelaki berusia 51 tahun di Taman Behor Gonchar Jaya, Jalan Dato Ali, Kangar dalam keadaan marah sebelum pergaduhan tercetus.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima maklumat sekitar jam 11.13 malam yang memaklumkan berlakunya kejadian pergaduhan di taman perumahan berkenaan.
"Berdasarkan maklumat yang kita terima berlaku pergaduhan membabitkan empat individu termasuk mangsa di laluan masuk persimpangan jalan Taman Behor Gonchar Jaya.
"Apabila anggota polis sampai di tempat kejadian, didapati mangsa dan tiga lagi individu yang terbabit dalam pergaduhan itu sudah pun dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan.
"Namun mangsa (Elly Idzlianizar) bagaimanapun meninggal dunia sekitar jam 12.30 tengah malam semalam (Rabu) akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan tangan dipercayai kerana ditetak menggunakan senjata tajam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, di sini pada Khamis
Katanya, susulan daripada itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kangar dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis menahan tiga lelaki berusia antara 28 hingga 51 tahun yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan itu di beberapa lokasi berasingan di sekitar Kangar.
"Semasa penahanan dibuat juga, kita turut merampas telefon bimbit, perakam video digital dan sebilah pedang samurai berukuran 112 sentimeter (cm) yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.
"Siasatan lanjut yang dibuat mendapati mangsa meninggal dunia kerana mengalami sekitar 10 hingga 12 kesan tetakan pada badan di mana satu kesa tetakan di bahagian tangan kanan, tiga di bahagian tangan kiri dan tujuh hingga lapan kesan tetakan di bahagian belakang badan mangsa.
"Malah, keputusan bedah siasat yang dibuat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar juga mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan yang teruk termasuklah saluran darah di bahagian tangan mangsa cedera parah sehingga menyebabkan kematian," katanya.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian bermula apabila mangsa cuba mencari suspek utama berusia 51 tahun di kediamanannya di taman perumahan itu.
"Mangsa tiba ke rumah suspek dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Iriz berwarna biru namun suspek tiada di rumah dan hanya anak dan isterinya sahaja yang ada.
"Mangsa beredar namun terserempak dengan suspek di laluan masuk persimpangan jalan taman perumahan itu dan tercetuslah pergaduhan dan pergelutan yang disertai dua lagi lelaki termasuk anak suspek pertama yang berusia 31 tahun.
"Kita difahamkan mangsa dan suspek saling mengenali dan sering berurusan antara mereka mengenai perkara yang tidaklah sehingga membawa kepada pergaduan seperti itu. Namun setakat ini, motif dan penyebab berlakunya pergaduhan masih disiasat," katanya.
Yusharifuddin berkata, pihaknya turut menyiasat sekiranya wujud unsur kongsi gelap dan gangsterisme dalam pergaduhan itu kerana suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.
"Daripada saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati hanya suspek utama positif dadah dan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau membabitkan cubaan membunuh dan dadah.
"Suspek kedua berusia 28 tahun dan bekerja sebagai buruh di Arau pula mempunyai 12 rekod jenayah membabitkan pelbagai jenayah dan dan dadah manakala suspek ketiga yang berusia 31 tahun yang juga anak kepada suspek pula mempunyai lima rekod lampau membabitkan pelbagai jenayah dan dadah," katanya.
Suspek kini direman sehingga 17 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala jenazah manga selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Utan Aji, Kangar semalam.
Allhayarham Elly Idzlianizar Elias cukup dikenali sebagai pelumba yang berbakat besar di mana beliau mula mencipta nama di arena perlumbaan tempatan Cub Prix.
Allahyarham juga berjaya menjulang beberapa kejuaraan bersama pelbagai pengeluar antaranya Yamaha, Honda dan Suzuki sehingga terpilih menyertai program pencarian pelumba 'wildcard' negara untuk beraksi di Grand Prix Malaysia pada tahun 2009.
#bekas pelumba negara #kes bunuh #Elly Idzlianizar #tetak dan tikam #punca kematian
;