Polis Sabah tubuh pasukan khas siasat kes pelajar maut dipukul

Sinar Harian
Mac 25, 2024 14:45 MYT
Jauteh (tengah) selepas Majlis Sambutan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024 Kontinjen Sabah, di Auditorium IPK Sabah, Kota Kinabalu pada Isnin. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Polis Sabah telah menubuhkan satu pasukan petugas bagi memastikan siasatan kes melibatkan pelajar kolej vokasional yang maut dipukul di asrama baru-baru ini dilakukan secara pantas, profesional dan teratur.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pasukan petugas itu diketuai oleh Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan) Kontinjen Sabah Asisten Komisioner, Cyril Edward Nuing.
"Bagi kes buli yang membawa kepada kematian seorang pelajar, reman akan tamat pada 29 Mac ini.
"Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 dengan jumlah tahanan untuk siasatan masih 13 orang," katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Hari Polis ke-217 Tahun 2024 Kontinjen Sabah di Auditorium IPK Sabah di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes melibatkan kematian seorang pelajar kolej vokasional di Lahad Datu pada Jumaat lalu.
Diminta mengulas lanjut hasil bedah siasatan dijalankan, beliau memaklumkan pihak PDRM masih belum dapat mendedahkan punca kematian mangsa.
"Memandangkan masih dalam siasatan dan elak sebarang spekulasi, jadi buat masa ini pihak polis tidak dapat memaklumkan sebab kematian berdasarkan hasil bedah siasat berkenaan.
"Berdasarkan gambar memang ada (kesan lebam), bagaimanapun nanti kita maklumkan (kecederaan)," katanya.
Katanya lagi, setakat ini beberapa individu juga turut telah dirakam percakapan termasuk warden dan rakan-rakan mangsa lain.
"Polis belum dapat dedahkan berapa ramai yang dipanggil, mungkin akan jadi ramai," katanya.
Sinar Harian pada Jumaat lalu melaporkan Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17,ditemukan meninggal dunia di asrama kolej berkenaan dipercayai akibat dipukul oleh rakan asrama.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#pelajar kolej vokasional #maut dipukul #Pesuruhjaya Polis Sabah #pasukan petugas ditubuh
;