Polis Sabah rampas dadah lebih 50kg bernilai RM3 juta

Bernama
September 11, 2023 18:00 MYT
Jauteh (kanan) menunjukkan bungkusan dadah yang berjaya dirampas dalam sebuah kenderaan jenis Mazda di sebuah perhentian bas dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu susulan penahanan tiga individu serta rampasan 50.25 kilogram (kg) dadah bernilai RM3 juta di sini, Khamis lepas.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata tiga lelaki tempatan berasal dari Sarawak berusia 27 hingga 38 tahun, ditahan pukul 12.40 tengah hari dalam sebuah kereta berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini.
"Semasa ditahan polis memeriksa kenderaan berkenaan dan mendapati terdapat beberapa bungkusan hitam yang apabila diperiksa mengandungi beberapa lagi bungkusan kecil, disyaki dadah jenis syabu seberat 50.25 kg.
"Turut dirampas wang tunai mata wang negara asing dan barangan kemas bernilai RM17,067," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.
Beliau berkata sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak beberapa bulan lepas dan dadah dipercayai diperoleh dari luar negara untuk pasaran di negara jiran.
Katanya pemeriksaan ujian air kencing mendapati seorang daripada suspek positif syabu dan mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Jauteh berkata kesemua suspek direman selama seminggu hingga Khamis ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
#Polis Sabah #sindiket pengedaran dadah #dadah syabu #Jauteh Dikun #Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu
;