Polis Sabah pastikan penempatan setinggan tidak dijadikan sarang penjenayah

Bernama
Februari 28, 2016 17:13 MYT
ABDUL RASHID: Program gotong-royong perdana yang membabitkan pasukan keselamatan dan agensi lain akan diperluaskan di semua kawasan setinggan di Sabah.
Polis akan memastikan tiada anasir tidak diingini mendominasi penempatan setinggan di negeri ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun.
Beliau berkata dalam usaha untuk menjamin penempatan setinggan tidak dijadikan sarang penjenayah, program gotong-royong perdana yang membabitkan pasukan keselamatan dan agensi lain akan diperluaskan di semua kawasan setinggan di Sabah.
Program itu juga berobjektif meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan di kawasan setinggan, katanya kepada pemberita selepas meninjau aktiviti gotong-royong perdana di sebuah penempatan setinggan di Telipok di sini hari ini.
Katanya program perintis gotong-royong perdana dijalankan di penempatan setinggan di Telipok itu adalah susulan operasi bersepadu di kawasan setinggan itu pada 13 Februari lepas berjaya menahan enam individu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Aktiviti dan program ini akan diperluas ke semua penempatan setinggan di negeri ini. Kami akan pergi dari satu penempatan ke satu penempatan untuk memastikan tiada anasir tidak diingini mendominasi penempatan terbabit di Sabah," katanya.
Sebanyak 428 anggota dan pegawai polis serta 657 anggota dan pegawai agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kesihatan dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu menyertai aktiviti gotong-royong perdana itu.
Berhubung penahanan enam individu itu kerana dipercayai menjadi dalang penyaluran maklumat dan bantuan kepada penjenayah asing, Abdul Rashid berkata siasatan sedang dijalankan dan setakat ini mereka memberi kerjasama baik kepada polis.
Katanya siasatan polis termasuk mengesan jika ada individu lain terlibat sama.
Dalam pada itu, beliau berkata pelbagai agensi keselamatan seperti polis, ATM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia terus berganding bahu dalam memastikan keselamatan di Sabah.
"Bagaimanapun, tugas mengawal keselamatan Sabah tidak seharusnya diletakkan di bahu pasukan keselamatan sahaja. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Kita kena berfikir secara holistik," katanya.
#jenayah Sabah #penempatan setinggan #Polis Sabah #SOSMA
;