Polis Sabah hantar anggota pematuhan ke Tawau, Kalabakan dan Lahad Datu
Junaidi Ladjana
Jun 2, 2021 15:59 MYT
Jun 2, 2021 15:59 MYT
KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah akan menambah anggota ke pantai timur negeri itu bagi melakukan rondaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, penambahan anggota itu dilakukan pihaknya susulan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 di daerah berkenaan.
"Sebab itu, saya menghantar pasukan pemantauan untuk lebih agresif terutama di Tawau dan Kalabakan serta beberapa daerah sekitar seperti Lahad Datu dan Kunak.
"Sehubungan itu, saya menggesa kepada rakyat Sabah secara keseluruhannya untuk mendisiplinkan diri dan mematuhi SOP yang dikeluarkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penguatkuasaan SOP PKP 3.0 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah pada Rabu.
Mengulas lanjut Hazani memberitrahu, 60 kompaun dikeluarkan sepanjang hari pertama PKP 3.0.
Katanya, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah pelanggaran SOP seperti membawa penumpang melebihi kapasiti kenderaan ditetapkan, tidak mendaftar MySejahtera ketika memasuki premis.