Polis rekod keterangan lelaki pandu kereta lawan arus di George Town

Bernama
Ogos 19, 2024 10:45 MYT
Razlam berkata hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 4.48 petang Sabtu lepas. - Foto fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Polis mengesahkan telah memanggil seorang lelaki selepas rakaman videonya yang memandu melawan arus di Jalan Masjid Negeri di sini, tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata video berdurasi 39 saat yang dirakam daripada kamera papan pemuka kenderaan itu telah dimuat naik di aplikasi X dan hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 4.48 petang Sabtu lepas.
"Susulan itu, pemandu kenderaan terbabit yang berusia 20-an telah dipanggil semalam untuk direkodkan keterangannya bagi tujuan siasatan
"Berdasarkan keterangan lelaki itu mendakwa dia dari Seberang Perai Selatan (SPS) dan tidak tahu selok belok jalan di George Town. Dia juga memberitahu hendak cepat ke hospital," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Razlam berkata saman turut dikeluarkan terhadap lelaki itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau dalam pada itu menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan rakaman video berkenaan.
-- BERNAMA
#lawan arus #video tular #keterangan #Razlam Ab Hamid