Polis rekod keterangan 40 individu bagi bantu siasatan kes tanah runtuh
Bernama
Oktober 30, 2018 06:16 MYT
Oktober 30, 2018 06:16 MYT
Polis merekodkan keterangan 40 individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, Paya Terubong di sini 19 Okt lepas yang mengorbankan sembilan nyawa pekerja asing.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A.Thaiveegan berkata mereka terdiri daripada pelbagai individu termasuk mangsa yang terselamat, keluarga mangsa, kontraktor projek dan pakar-pakar berkaitan.
Beliau berkata ada beberapa lagi individu yang akan dipanggil untuk direkodkan keterangan mereka dan polis juga dijangka memanggil semula beberapa orang yang telah diambil keterangan sebelum ini, untuk melengkapkan siasatan.
"Pasukan khas yang menjalankan siasatan kes itu sedang menjalankan siasatan secara terperinci dari pelbagai aspek untuk melihat sama ada terdapat unsur-unsur kecuaian dalam kejadian itu," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan cuba melengkapkan siasatan kes itu secepat mungkin sebelum menyerahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
Kejadian tanah runtuh di tapak projek jalan berkembar Bukit Kukus pada pukul 1.56 tengah hari itu turut mengakibatkan empat rakyat asing cedera, manakala seorang lagi dilapor hilang serta menimbus 13 kontena dan rumah kongsi penempatan pekerja projek itu.
-- BERNAMA
#A Thaiveegan
#bukit kukus
#cedera
#hilang
#jalan berkembar
#kecuaian
#Kontraktor
#lebuh raya berkembar
#mangsa
#pakar
#paya terubong
#pekerja asing
#polis
#projek
#pulau pinang
#rumah
#siasatan
#tanah runtuh