Polis rampas produk kosmetik Thailand lebih RM90,000
Bernama
Oktober 12, 2024 22:08 MYT
Oktober 12, 2024 22:08 MYT
KOTA BHARU: Polis menumpaskan kegiatan penyeludupan produk kosmetik yang dianggarkan bernilai RM94,500 di pangkalan haram Jitong, Pasir Mas, semalam.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan dilakukan sepasukan anggota Batalion 8 (PGA8) pada 5.30 petang itu, ketika menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.
Beliau berkata ketika rondaan anggota bertugas ternampak pintu sebuah stor dalam keadaan terbuka berdekatan pangkalan haram berkenaan.
Susulan itu, anggota membuat pemeriksaan dan menemukan beberapa kotak berisi produk kosmetik dipercayai diseludup dari Thailand di dalam stor itu.
"Ketika pemeriksaan tiada sesiapa di kawasan stor dan dipercayai kesemua produk itu adalah untuk pasaran tempatan, manakala kesemua barangan kosmetik itu kemudiannya diserahkan ke Komtak Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 7(1)(E) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
"PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di sempadan negara dan tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa yang terlibat," katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA