Polis rampas heroin bernilai RM250,000, tahan seorang lelaki

Bernama
Ogos 8, 2022 17:13 MYT
Datuk Muhamad Zaki Harun (kanan) bersama pegawai menunjukkan sebahagian 125 botol dadah disyaki heroin pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini. - Bernama
KOTA BHARU: Polis merampas 125 botol lutsinar mengandungi serbuk keputihan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM250,000, yang ditemukan di dalam raga motosikal seorang lelaki, di Pengkalan Kubor, Tumpat, empat hari lepas.
Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek yang berumur 53 tahun itu ditahan pada pukul 8.03 malam menerusi Op Tapis yang dilaksanakan selama tiga hari bermula pada 4 Ogos lepas.
Beliau berkata dalam operasi itu, polis menemukan bungkusan plastik berwarna kehijauan bertulis C.D.Sungeigolok Supermarket CO.LTD di dalam raga motosikal jenis Honda EX-5 yang ditunggang suspek.
"Di dalam bungkusan itu pula, polis menemukan satu lagi plastik berisi 125 botol plastik lutsinar berpenutup kuning yang mengandungi dadah disyaki heroin seberat 650 gram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Katanya suspek yang didapati positif dadah jenis morfin itu ditahan reman sehingga 11 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu Muhammad Zaki berkata dalam Ops Tapis selama tiga hari, polis Kelantan berjaya menahan 108 orang yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.
"Keseluruhan dadah yang dirampas dalam Ops Tapis kali ini bernilai RM279,115.70 dan ia dianggarkan boleh digunakan oleh 9,114 penagih," katanya.
-- BERNAMA
#heroin #polis #Tumpat #Muhamad Zaki Harun
;