Polis rampas dadah pelbagai jenis dengan nilai RM4.5 juta, lapan ditahan

Amirrul Rabbani
Mac 24, 2022 12:26 MYT
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan di beberapa lokasi di negeri Perak pada Isnin lalu. - Foto Astro AWANI
IPOH: Polis berjaya merampas dadah pelbagai jenis dengan nilai dianggarkan berjumlah RM4.5 juta dalam lapan serbuan di beberapa lokasi di negeri Perak pada Isnin lalu.
Dalam serbuan yang diadakan antara jam 11.10 pagi sehingga 5.30 petang itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama-sama JSJN Perak telah menahan lapan individu tempatan yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah sejak pertengahan tahun lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kesemua lelaki berumur lingkungan 32 sehingga 37 tahun itu ditahan berasingan antaranya di sekitar Simpang Pulai, Meru, Jelapang dan Batu Gajah.
Katanya hasil siasatan awal mendapati mereka memperoleh bekalan dadah pelbagai jenis dari Pantai Timur sebelum diedarkan ke sekitar Negeri Perak.
“Pecahan jenis dadah yang berjaya dirampas adalah, syabu dengan berat 123.8 kilogram, heroin (105 gram) dan ketamin (150 gram).
“Berdasarkan jumlah dadah yang dirampas, pihak polis percaya ia boleh digunakan oleh seramai 620,025 orang penagih dadah,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, pada Khamis.
Tambah beliau lagi, selain dadah, wang tunai, barang kemas serta lima kenderaan antaranya Perodua Kancil, Perodua Myvi, Toyota Camry, Volkswagen Polo dan Honda EX5 yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM212,712 turut dirampas.
Mior Faridalathrash memberitahu ketika tangkapan dijalankan, hasil ujian saringan air kencing ke atas lapan suspek mendapati kesemua mereka negatif dadah.
Walau bagaimanapun hasil semakan mendapati lima daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
“Pihak polis percaya masih ada lagi saki baki ahli sendiket yang masih bebas. Justeru kami khususnya JSJN akan terus berusaha mengesan mereka yang terlibat untuk diheret ke muka pengadilan,” katanya lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek direman selama tujuh hari bermula 22 Mac bagi membantu siasatan.
#rampasan dadah #polis perak #serbuan polis #suspek ditahan
;