Polis rampas dadah lebih 1.75kg di Langkawi

Bernama
Februari 25, 2013 06:17 MYT
Polis menahan dua lelaki dan merampas lebih 1.75 kilogram dadah bernilai RM42,000 dalam serbuan di sebuah Inap Desa di Padang Mat Sirat, Langkawi Rabu lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah Supt Abdul Razak Md Zin berkata dua yang ditahan itu ialah seorang buruh berumur 48 tahun yang disyaki pengedar dadah dan seorang penagih yang dipercayai ingin mendapatkan bekalan daripada buruh terbabit.
Beliau berkata dadah yang dirampas ialah empat paket heroin dengan berat kasar 1.75 kilogram bernilai RM40,000, syabu (10 gram) dan ganja (11.11 gram).
"Penangkapan lelaki itu mendedahkan taktik baharu pengedar dadah membawa masuk dadah ke Langkawi iaitu dengan menyembunyikan dadah dalam keretanya yang dihantar ke Langkawi dengan tongkang dan dia akan mengambil kenderaannya di Langkawi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki berasal dari Yan, Kedah, yang pernah menjalani rawatan pemulihan dadah di Pusat Serenti pada tahun 1992 itu menyewa inap desa yang berlainan setiap kali ke pulau peranginan itu.
Lelaki terbabit direman selama seminggu mulai 20 Feb dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, katanya.
Abdul Razak berkata seorang lagi yang ditahan dalam serbuan pada pukul 3.30 petang itu ialah penduduk tempatan berusia 28 tahun.
Lelaki itu pernah dipenjarakan selama tiga bulan pada tahun lepas kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah, katanya sambil memberitahu lelaki itu kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya.
#1.75 kilogram #Dadah #Langkawi